Tajuk : Ketika dan Kalimat
Kursus Bahasa Dalam Multimedia (BBM3410) merupakan kursus yang mendatangkan banyak kebaikan kepada para pelajar. Bidang ini menawarkan pelajar untuk mempelajari perkara-perkara berkaitan multimedia seperti membuat e-majalah, papan cerita, persembahan multimedia, blog, dan website. Penerangan yang berkaitan dengan penggunaan grafik, memberi pengetahuan baru kepada pelajar. Kursus ini menjadikan pelajar sastera dan bahasa tidak ketinggalan untuk mengetahui ilmu yang melibatkan multimedia dan teknologi maklumat. Jadi, bidang bahasa yang dipelajari dapat diaplikasikan di dalam sub-topik yang diajar. Biarpun kursus ini dinamakan multimedia, tetapi penekanan dan kepentingan bahasa dititikberatkan sekaligus menunjukkan kepentingan bahasa dalam pembuatan multimedia. Bahasa nampak berperanan sebagai alat penyampaian maklumat dan arahan di dalam pembuatan multimedia ini. Susunan pembelajaran yang sistematik dan cara penyampaian sangat memberangsangkan fikiran.
Di awal pembelajaran Bahasa Dalam Multimedia ini, pelajar telah didedahkan dengan asas-asas grafik. Asas-asas grafik amat penting bagi menghasilkan seni grafik yang mampu menarik pembaca khususnya majalah, blog mahupun web. Terdapat lima asas grafik yang perlu ada dalam pembikinan grafik. Perkara ini perlu diketahui oleh mereka yang mahukan majalah, blog, dan web yang baik serta cantik.
Mengambil gambar merupakan kegemaran ramai. Namun, begitu tidak ramai yang mengetahui teknik memperolehi gambar yang cantik. Dalam hal ini, di awal pembelajaran BBM3410, pensyarah telah menekankan aspek yang perlu dititikberatkan bagi memperolehi gambar yang cantik. Gambar boleh menggambarkan beribu-ribu penjelasan. Hal ini kerana gambar yang diambil kebiasaannya digunakan untuk menyampaikan mesej kepada orang yang melihat gambar tersebut. Jika dilihat di dalam majalah-majalah hari ini, perkara yang dititikberatkan oleh penerbit sebelum majalah dipasarkan ialah memastikan kualiti penghasilan majalah tersebut. Majalah banyak mempromosikan produk dengan mengkhususkan beberapa ruang untuk pengiklanan. Misalnya, iklan pakaian, buku, alat elektrik dan sebagainya. Jadi, mereka menggunakan teknik grafik agar penonjolan itu jelas. Gambar yang berkualiti hendaklah seimbang dari segi warna dan kedudukan objek di dalamnya. Penggunaan warna yang sesuai menumbuhkan minat kepada pembaca. Sesuatu yang terang kebiasaannya menjadi tarikan berbanding sesuatu yang malap yang memerlukan pemerhatian yang lebih teliti. Begitu juga dengan gambar. Gambar yang jelas tidak memerlukan pembaca meneliti gambar tersebut sehingga terpaksa menekupkan muka ke helaian iklan. Mustahil. Dengan penjelasan oleh pensyarah mengenai kepentingan teknik yang betul dalam mengmbil gambar, pelajar mendapat input baru bagi memperolehi gambar yang menarik.
Pensyarah telah memberikan aktiviti yang baik kepada pelajar dengan mengadakan aktiviti yang berjaya menggerakkan diri pelajar untuk mengaplikasikan pengajaran beliau. Biarpun sedikit tekanan diberikan, namun hasilnya telah memberikan pengalaman yang baik kepada pelajar. Misalnya, pelajar mula didedahkan dengan alat-alat penting dalam menghasilkan sesebuah grafik. Setelah diberikan pendedahan tentang lima asas grafik oleh pensyarah, pelajar dikehendaki mengenalpasti beberapa iklan di dalam majalah yang mengandungi lima asas tersebut. Hasilnya jika dahulu pelajar hanya melihat gambar iklan dan memberi komen ianya sesuatu yang cantik tetapi kini perkataan “cantik” tersebut dapat diperincikan lagi.
Walau bagaimanapun, kesemua kerja yang diberikan hendaklah disiapkan dalam masa yang ditetapkan. Hal ini memberi sedikit tekanan kepada pelajar untuk menyelesaikan perkara tersebut. Namun, akhirnya tekanan itu mengajar pelajar untuk menjadi bijak dalam membahagikan kerja memandangkan kesemua aktiviti bergerak melalui kumpulan. Biarpun kerja pertama hanyalah mengenalpasti gambar yang mengandungi lima asas grafik, memotongnya dengan teliti dan kemudian ditampalkan ke atas kadbod yang bersaiz A4 nampak mudah, tetapi kerja tersebut sebebenarnya sedikit rumit. Jika dahulu menampal ataupun mengegam kertas umpama mengunyah kacang namun kelas ini telah membuatkan proses tersebut tidak semudah yang disangkakan.
Perkara yang dilakukan ialah menampal atau mengegam kertas yang nipis di atas kadbod yang sama saiz tanpa menimbulkan gelembung udara meruapakan perkara kecil yang ternyata rumit. Keadaan kelas yang sedikit sempit dengan ruang yang terhad menjadikan pergerakan sedikit terbatas. Hal ini membuatkan pelajar tergesa-gesa menyiapkan tugasan yang diberi. Perkara ini mengajar pelajar untuk menyiapkan tugasan tepat pada masanya dengan hasil yang berkualiti biarpun mempunyai banyak halangan. Pengajarannya, biarpun perkara tersebut nampak mudah, tetapi perlu dititikberatkan supaya siap dengan keadaan yang baik dan teratur.
Selain itu, pembelajaran dalam kelas multimedia ini menuntut pelajar supaya peka dengan keadaan sekeliling dan mempunyai ilmu di dada. Pengetahuan yang banyak akan membantu dalam menghasilkan maklumat yang baik. Terdapat aktiviti yang menuntut pengetahuan pelajar dalam sesuatu bidang yang berkaitan dengan multimedia . Misalnya tugasan menghasilkan karangan sebanyak lapan muka surat yang menuntut pelajar untuk menulis artikel panjang berdasarkan tajuk yang telah diberikan oleh pensyarah. Biarpun tugasan ini melibatkan kumpulan, namun pelajar tidak dibenarkan merujuk internet, buku mahupun alat bantuan lain. Tajuk seperti “Pengaruh imej kartun dalam pembentukan minda kreatif dan inovatif” misalnya, menuntut pengetahuan tentang animasi dan pengaruh yang di bawa oleh sesuatu imej kartun. Tekanan yang timbul adalah disebabkan kekurangan maklumat tentang tajuk tersebut dan kekangan masa.
Kerja dalam tekanan sememangnya rumit, ditambah lagi dengan maklumat yang sedikit telah merencatkan penulisan. Alat bantu menulis iaitu “laptop” yang hanya sebuah menjadikan kerja bertambah rumit iaitu ahli kumpulan terpaksa menunggu giliran untuk menaip. Masa yang terhad menimbulkan kerisaaun sehingga keadaan menjadi tegang. Namun, idea tetap juga diperah memandangkan ahli kumpulan mempunyai pendapat masing-masing. Hasilnya, kerja beramai-ramai atau berkumpulan sebenarnya menghasilkan idea yang lebih banyak dan bernas. Kerja yang diagihkan-agihkan menyebabkan masa dapat dijimatkan. Pembahagian tugas di dalam kumpulan, mengajar setiap orang bertolak ansur dan bertanggungjawab dengan tugas yang diterima. Ada ahli kumpulan yang membuat draf, meberikan idea, mengolah ayat, membincangkan isi, menaip, malah sehingga tugasan mengedit juga diwujudkan. Oleh itu, pelajar telah belajar bersikap lebih professional dengan mengawal emosi yang sememangnya tertekan. Kerjasama dan tolak ansur yang dipraktikkan menjadikan tugasan tersebut mudah dah dapat dihantar dengan kriteria yang lengkap. Pensayarah menggalakkan pelajar untuk menghantar tugasan menerusi email. Penghantaran tugasan melalui email ini mengajak pelajar menggunakan teknologi yang ada yang lebih mudah dan cepat. Namun begitu, sehebat manapun teknologi tersebut, tetapi masih terdapat sedikit masalah apabila email tersebut gagal dihantar. Mungkin disebabkan masalah teknikal yang tidak dapat diatasi. Namun atas nama tanggungjawab, tugasan tersebut dihantar juga. Walaubagaimanapun hal ini menuntut kesabaran yang tinggi. Kelas ini mengajar sesuatu yang baru sepanjang menjadi pelajar di UPM.
Sesuatu yang mengecewakan ialah apabila karangan pertama cuma menghasilkan empat muka surat sahaja kerana masa yang ditetapkan telah tamat. Hasilnya, kerja yang tidak lengkap itu, dipulangkan semula dan perlu disudahkan sehingga cukup lapan muka surat. Di sinilah pengajaran tentang betapa pentingnya untuk menghantar kerja yang lengkap dan berkualiti. Di sini juga salah satu lagi pengajaran diperolehi. Markah yang baik dan banyak hanya boleh diperolehi dengan kerja yang lengkap.
Selain itu, kelas BBM3410 ini turut memberikan pengalaman berharga apabila tugasan yang diberikan sedikit berbeza dengan tugasan subjek lain. Jika subjek lain menuntut pelajar membuat tugasan yang berpuluh-puluh muka surat, subjek ini mengajar pelajar supaya menghabiskan masa dengan aktiviti yang melibatkan komputer dan aplikasinya. Malah, BBM3410 inilah menjadikan pelajar bijak menggunakan kamera. Misalnya tugasan untuk membuat dan menghasilkan “slide show”. Pelajar dikehendaki membuat “slide show” gambar yang berkaitan dengan peribahasa. Dalam kumpulan Apollo, ahli kumpulan belajar menggunakan kamera SLR. Jika perkara ini diambil mudah, kamera digital biasa atau kamera telefon bimbit juga tidak menjadi masalah. Memandangkan pensyarah mahukan gambar yang bermutu, dengan sudut yang berbeza tetapi kekal menarik, peluang ini digunakan sebaik mungkin.
Gambar yang diambil mempunyai tema yang telah ditetapkan oleh pensyarah. Setiap kumpulan menyediakan gambar berdasarkan peribahasa. Dalam hal ini, pelajaran pertama yang diperolehi adalah membahagikan tugasan kepada setiap ahli kumpulan. Kemudian, ahli kumpulan berbincang untuk peribahasa yang bakal digunakan. Hal ini tidak menjauhkan pelajar bahasa dari bahasa yang dipelajari dengan tetap mengaplikasikan peribahasa di dalam “slide show”. Tugasan yang diberi menuntut komitmen yang tinggi. Pengalaman dalam menyiapkan tugasan ini ialah pengambaran yang dijalankan. Berpuluh-puluh gambar diambil dengan “pose” berbeza demi memperolehi gambar terbaik. Memandangkan terdapat banyak peribahasa yang digunakan, gambar yang diambil turut memerlukan watak dan pakaian yang berbeza. Jadi seluruh tenaga digunakan untuk menyudahkan tugasan ini.
Malah, untuk menyiapkan tugasan ini, pengkhususan masa selama sehari diperuntukkan. Hal ini menjadikan pelajar belajar untuk membahagikan masa dengan sebaik mungkin untuk menyiapkan tugasan tersebut kerana tugasan bukan berakhir dengan sesi mengambil gambar sahaja. Proses seterusnya perlu dilakukan dengan memerlukan ketelitian iaitu membuat “slide”. Selesai menyusun gambar di dalam “slide”, proses memasukkan teks pulz dilakukan, dan yang terakhir ialah memasukkan muzik yang sesuai. Muzik yang dimasukkan diedit terlebih dahulu agar bersesuaian dengan tempoh masa yang ditetapkan. Ini sekaligus mengajar pelajar menggunakan aplikasi yang ada di dalam komputer dengan lebih sistematik. Cara membuat “slide show” yang lebih baik dan tersusun diaplikasikan dengan membuat tugasan ini.
Selain itu, pelajar juga dapat mempelajari cara menyesuaikan muzik dengan masa. Kelas ini menjadikan pelajar mahir dengan pembuatan “slide show” menggunakan “microsoft power point”.
Malah, pembentangan yang dijalankan dihadapan semua rakan sekelas menimbulkan rasa ingin menjadikan diri yang terbaik. Kelas ini berjaya mewujudkan sikap daya saing yang baik dalam menghasilkan tugasan. Pengalaman menjadi seorang yang sedikit takut juga wujud ketika membentangkan “slide show” ini kerana bimbang kesilapan teknikal terjadi sehingga menyebabkan kesan bunyi hilang. Namun, perasaan lega dan gembira muncul apabila berjaya menyudahkan tugasan ini dan penonton memberikan tepukan yang menyenangkan pendengaran. Akhirnya, soal keyakinan diri wujud setelah berjaya menyudahkan pembentangan tugasan ini.
Kelas Bahasa Dalam Multimedia turut mengajar sesuatu yang baru, iaitu membuat e-majalah. Proses yang sedikit rumit, di mana proses bermula dengan pemilihan tema majalah yang bakal dikeluarkan. Draf atau lakaran awal dilakukan untuk keseluruhan muka surat. Lakaran hanya menggunakan pensil dan pensil warna. Setiap “font” hendaklah dikenakan dengan warna yang sesuai. Proses pembuatan e-majalah ini dilakukan dengan sebaik mungkin bagi memastikan majalah yang bakal dihasilkan menepati kriteria yang dikehendaki. Lakaran awal dilakukan dengan mengatur susun letak untuk menempatkan teks, tajuk, gambar, dan sedikit corak mengikut kreativiti editor. Namun semua lakaran yang dibuat tetap tidak lari daripada lima ciri asas grafik.
Pengalaman belajar membuat e-majalah ini ialah kerumitan amat dirasai apabila terdapat beberapa masalah sewaktu membuat lakaran. Antaranya ialah, sebelum meletakkan grafik atau gambarajah di atas muka surat majalah, lakaran gambar terpaksa dilakukan terlebih dahulu. Oleh yang demikian, editor dituntut untuk mengusai teknik-teknik seni penulisan termasuklah seni lukisan. Melukis menjadi satu masalah baru ketika membuat e-majalah ini. Jika menggunakan komputer, kerja melukis dan menyusun atur kedudukan teks, kotak dan grafik menjadi lebih mudah, tetapi apabila semuanya dilakukan secara manual sehingga melebihi tujuh muka surat dalam masa terhad, telah menimbulkan kesukaran.
Langkah pertama yang dilakukan dalam menghasilkan e-majalah ialah membuat papan cerita terlebih dahulu setelah memilih tema yang sesuai. Kami telah memilih tema yang berkaitan dengan muzik untuk dijadikan majalah. Papan cerita yang dibuat meletakkan isu-isu yang bakal diketengahkan di dalam majalah. Kemudian isi kandungan yang akan dimuatkan di dalam e-majalah disusun mengikut keinginan. Langkah seterusnya ialah membuat draf kasar mengenai majalah tersebut. setiap perkara yang ingin diketengahkan dilakarkan. Nombor muka surat diletakkan di bahagian bawah kertas agar tersusun. Seterusnya, gambar yang sesuai mula dilukiskan mengikut cerita yang diketengahkan. Semua ini dilukis berdasarkan papan cerita yang telah dibuat pada langkah pertama. Setelah itu barulah teks dimasukkan. Setiap langkah dilakukan dengan teliti supaya lengkap dan tidak ada yang tertinggal.
Setelah proses di atas selesai, bahagian yang juga tidak kurang penting ialah meletakkan warna. Perletakkan warna yang menggunakan pensil warna turut mencabar kewibaan dan tahap kreativiti pelajar pada masa itu. Namun, apabila berada di kelas ini, kemahiran asas itu kembali digunakan. Hal ini membuktikan bahawa sesuatu perkara yang pernah dianggap remeh dan mudah suatu ketika dahulu sebenarnya tidaklah semudah yang disangkakan Perkara seperti melukis, mewarna merupakan perkara yang sudah bertahun-tahun ditinggalkan. Setelah selesai meletakkan warna, e-majalah akan disunting terlebih dahulu sebelum melalui proses pengeditan. Dalam keadaan yang serba tertekan dengan desakan masa menjadikan tugas sedikit rumit. Perkara ini mengajar tentang betapa pentingnya pengagihan dan pengurusan masa yang tepat dan cekap adalah amat diperlukan supaya kerja yang dilakukan siap tepat pada waktunya.
Selain itu, pengajaran yang diperolehi ialah sikap kerjasama antara ahli kumpulan semestinya membantu mempercepatkan sesuatu tugas yang diberi siap. Ini semua bergantung kepada kerjasama dan tolak ansur antara ahli kumpulan. Setiap idea yang dikemukakan oleh ahli kumpulan dibincangkan dan dipertimbangkan terlebih dahulu supaya idea terbaik dapat diperolehi bagi menghasilkan majalah terbaik.
Kelas Bahasa Dalam Multimedia ini turut didapati memberi pengalaman menarik apabila setiap kumpulan diberikan tugasan untuk menghasilkan papan cerita. Dari segi definisi, papan cerita ialah lakaran bertulis yang masih berada dalam bentuk perancangan. Manakala papan cerita yang lengkap adalah dilengkapi diskripsi yang teratur. Selain itu juga, papan cerita merangkumi aspek multimedia seperti teks, grafik, animasi, dan audio visual. Papan cerita juga dijadikan asas dan panduan untuk menyediakan instrumen multimedia. Dalam hal ini pengagihan terhadap hal multimedia adalah lebih bersepadu.
Selain itu sesuatu komponen yang penting dalam menghasilkan papan cerita ialah tema. Tema yang digunakan dalam menghasilkan papan cerita juga haruslah bersifat seragam dan seterusnya dapat memberikan kesan serta pengetahuan yang mendalam dan menyeluruh. Prosedur papan cerita merangkumi aspek-aspek seperti perancangan, perbincangan, perlaksanaan, mengenalpasti keperluan dan elemen multimedia. Sesuatu yang penting dan yang perlu dititikberatkan ialah penyaringan maklumat dalam sesebuah papan cerita. Proses ini perlu dilakukan agar maklumat penting yang ingin disampaikan kepada khalayak dapat disampaikan dengan jelas.
Proses membuat papan cerita juga agak rumit. Dalam proses permulaan, lakaran awal menuntut editor melukis seperti dalam membuat e-majalah. Setiap kumpulan telah diberikan tajuk berkaitan “Bencana Tsunami” yang memerlukan lakaran minimum sebanyak tiga muka surat. Papan cerita yang hanya bersifat lakaran, dibuat oleh setiap kumpulan. Lakaran ini melibatkan lukisan, teks dan warna. Penyususan cerita telah dijadikan aspek utama dalam menghasilkan sebuah papan cerita yang terbaik. Penggunaan audio juga penting supaya papan cerita menjadi lebih menarik. Hal ini kerana kesan bunyi boleh mempengaruhi minat penonton untuk mengetahui secara lebih lanjut sesebuah kisah yang dipaparkan.
Melalui kelas Bahasa Dalam Multimedia (BBM3410) ini juga, pelajar diberi pendedahan bagaimana untuk menghasilkan papan iklan. Bagi menghasilkan papan iklan yang baik, lima asas grafik perlu digunakan dengan sebaik mungkin. Pemilihan warna yang sesuai akan mempengaruhi sesiapa yang memandang ke arah iklan yang digantung di tepi-tepi jalan ataupun di mana sahaja. sebelum menghasilkan papan iklan, pelajar di ajar terlebih dahulu untuk melakar draf awal tentang benda yang mahu diiklankan. Pelajar digesa untuk memilih satu produk yang berlainan mengikut kumpulan masig-masing. Jadi, pelajar dikehendaki membuat pilihan secepat mungkin supaya produk yang mahu diiklankan tidak akan sama dengan kumpulan yang lain. Ketegasan pensyarah telah menggerakkan minda kami untuk membuat keputusan dengan cepat tetapi betul dan bernas.
Produk yang menjadi pilihan kumpulan Apollo pada ketika itu ialah “jeans”. Setelah memilih produk yang sesuai, tugasan tersebut dibahagikan kepada setiap ahli kumpulan supaya kerja yang dilakukan lebih cepat siap. Cara untuk memaparkan iklan tersebut juga difikirkan sebaik mungkin supaya gambar yang dihasilkan kelihatan ringan dan tidak membebankan penonton. Draf awal dilakarkan di atas kertas A4 melibatkan lima muka surat. Setiap muka surat memaparkan lukisan yang berbeza namun masih mengiklankan produk yang sama.
Lukisan pertama ialah dengan melukis sebatang pokok tanpa daun. Di atas ranting pokok tersebut terdapat seluar jeans yang digantung dan kelihatan seperti ditiup angin. Lukisan tersebut hendaklah dilukis dengan perlahan agar kelihatan “real” dan “smooth”. Halaman pertama hanya memuatkan gambar tersebut. manakala di akar pokok diletakkan jenama produk yang dihasilkan.
Halaman kedua menempatkan lukisan yang sama seperti di atas iaitu sebatang pokok yang mempunyai ranting. Di atas ranting tersebut tergantung sehelai jeans. Namun, di halaman ini sedikit tambahan dilakukan dengan menggantung jeans kedua di sebelah kanan pokok. Jeans tersebut juga kelihatan meliuk lentok seperti ditiup angin. Oleh itu, halaman kedua memaparkan dua jenis jeans yang telah dihasilkan oleh jenama Apollo.
Halaman ketiga pula, papan iklan yang hanya mempunyai dua helai jeans yang disangkut dibahagian ranting kanan dan kiri mengalami penambahan. Produk berasaskan kain jeans yang ketiga dimasukkan. Sehelai skirt jeans di gantung di tengah-tengah ranting pokok disebelah jeans kanan. Ini menunjukkan terdapat beberapa jenis jeans yang dihasilkan oleh Apollo. Penyusunan ini dilakukan satu persatu agar kelihatan ringan di mata penonton. Malah untuk menunjukkan produk jeans satu persatu dengan lebih jelas.
Seterusnya, di halaman keempat ini, lakaran yang sedia ada dihalaman ketiga mengalami penambahan dengan meletakkan satu lagi produk berasaskan jeans iaitu “jacket”. Ranting di bahagian kiri di atas jeans yang pertama digantungkan sehelai “jacket” jeans. Jika halaman pertama hanya memuatkan sehelai jeans, perubahan itu berlaku mengikut peringkat. Halaman kedua terdapat dua helai jeans, ketiga pula semakin bertambah kepada tiga helai jeans dan seterusnya sehingga halaman kelima.
Halaman terakhir merupakan halaman kelima yang memuatkan kesemua jenis jeans yang mahu diiklankan. Jeans pendek dilkuiskan menyarung bahagian akar pokok. Bahagian hadapan jeans iaitu zip dalam keadaan terbuka bagi memperlihatkan jenama seluar tersebut. kekreativitian amat penting dalam menghasilkan iklan ini. Tujuan iklan dalah untuk menarik minat pembeli. Jadi teks ringan juga diselitkan bagi memperomosikan produk dan mempengaruhi pembeli. Dalam hal ini, kami hanya memuatkan jenama barangan sahaja supaya kelihatan ringkas. Logo barangan juga hendaklah diletakkan supaya pembeli tahu untuk memilih barangan original. Pembikinan papan iklan ini hendaklah tidak lari dari aspek-aspek ketelitian, kekemasan, menarik serta seimbang.
Tiga daripada iklan yang dilakarkan telah diterima pensyarah. Namun begitu, dua helai iklan kami telah dipulangkan semula. Jadi kami memperolehi pengajaran baru mengenai kekemasan yang telah dibuat sambil lewa. Terdapat beberapa gambar yang tidak “smooth” dan kelihatan kaku. Jadi pembaikan semula dilakukan dengan memadam bahagian yang comot dan melembutkan sedikit gambar rajah supaya kelihatan “real” ditiup angin.
Malah, melalui kelas BBM3410 ini juga pelajar telah didedahkan dengan cara untuk menghasilkan sesuatu program. Kali ini, pelajar disuruh menghasilkan program bersama anak yatim selama satu hari. Program ini dilakukan dalam kumpulan. Pelajar digalakkan membuat program dengan bergabung bersama dua kumpulan. Sebelum membuat program tersebut, setip kumpulan diminta membuat kertas kerja yang mengandungi objektif, tentatif, perbelanjaan dan segala maklumat tentang program tersebut. Kemudiannya pelajar terpaksa menunggu pensyarah meluluskan kertas kerja tersebut sebelum program dapat dijalankan.
Program ini telah memberi banyak pengajaran dalam mengejar erti hidup. Sebelum program dijalankan setiap ahli kumpulan telah mengutip derma untuk anak-anak yatim. Rumah anak-anak yatim yang telah dipilih merupakan sebuah madrasah yang menempatkan anak-anak pelarian Rohingya yang telah kehilangan ibu dan bapa. Mereka merupakan pelarian Myanmar.
Jadi, halangan yang wujud ialah apabila terdapat segelintir manusia yang tidak tahu erti kesusahan dalam kehidupan dengan mempertikaikan mengapakah kami membela anak Myanmar sedangkan masih banyak anak yatim Malaysia yang perlukan bantuan. Namun bukan bangsa menjadi isunya, tetapi sikap belas kasihan sesama agama. Terdapat segelintir manusia yang menuding dan menolak sesama sendiri bila derma dipohon. Disinilah kami mengenal manusia, rambut sama hitam, hati lain-lain. Bukan pakaian pengukur ketulusan dan kebaikan hati manusia sebenarnya. Ataupun pakaian menutup segala keaiban??.
Pengalaman sebegitu kami jadikan teladan. Anak-anak yatim yang umur sekitar 4 hingga 18 tahun ini memerlukan bantuan. Sedangkan bangsa cina sanggup mengajar mereka tanpa bayaran hanya untuk membantu mereka inikan pula kita yang seagama. Segala persiapan dilakukan sebelum hari tersebut tiba. Biarpun sedikit berdebar dengan hari tersebut kami tetap gagahkan hati. Kami mahukan yang terbaik untuk mereka.
Hati terlalu sedih melihat anak-anak ini. Sewaktu baru sahaja melangkah dan bersalaman dengan anak-anak ini, air mata semakin deras mengalir. Mereka terlalu muda untuk dugaan seperti ini. Terpancar kegembiraan di mata mereka melihat kami datang. Namun sedikit pelik apabila mereka melihat air mata kami yang bercucuran.
Kami jalankan aktiviti mengikut kumpulan. Mereka sangat suka belajar dan cukup bersemangat. Hal ini menimbulkan kesedaran di hati kami. Mereka tidak mempunyai peluang untuk mendapat pendidikan formal biarpun mereka mahu. Sedangkan anak-anak di Malaysia ini sendiri segelintirnya telah hilang kesedaran tentang kepentingan pendidikan. Kesemua pengalaman yang diperolehi dimuatkan ke bentuk movie menggunakan “movie maker” dan dikongsi bersama rakan sekelas.
Melalui kelas Bahasa Dalam Multimedia ini juga, pelajar telah didedahkan dengan cara menghasilkan kalendar. Setiap kalendar yang dihasilkan menuntut kekreativitian masing-masing. Tugasan ini merupakan tugasan yang dilakukandi dalam kelas tutorial. Pelajar telah diberikan masa selama tiga minggu untuk menghasilkan calendar dengan kreativiti tersendiri. Aplikasi dalam computer digunakan sebaik mungkin. Bagi menghasilkan calendar, tutor telah memperkenalkan pelajar dengan “Adobe Photoshop” yang mengajar pelajar menghasilkan calendar dengan mudah dan cantik. Gambar yang dipilh untuk melatari calendar turut boleh diedit menggunakan “software” ini. Kelandar yang dihasilkan tidak mengkhususkan sebarang tema daripada tutor. Pelajar boleh menghasilkan sebarang tema yang dipilh sendiri. Gambar yang melatari kalendar hendaklah melalui proses pengeditan terlebih dahulu supaya kelihatan lebih menarik. Dalam hal ini, segala bentuk pelajaran yang pernah diajar di dalam kelas diaplikasikan melalui pembuatan kalendar ini.
Gambar perlu mengalami proses pengeditan bertujuan untuk membiasakan pelajar menggunakan “Adobe Photoshop” yang mengandungi pelbagai cara bagi menubahsuai gambar. Contohnya, melalui software ini, pelajar boleh mengubah warna gambar, memotong bahagian gambar yang tidak dikehendaki dan memasukkan elemen lain supaya gambar kelihatan cantik. Gambar juga boleh dijadikan hitam putih sahaja untuk kelihatan lama. Ini merupakan satu kekreativitian yang digalakkan oleh tutor dalam menghasilkan calendar.
Setelah membuat “background” dengan meletakkan gambar yang telah diedit, proses memasukkan tarikh dan hari pada tahun 2009 dimulakan. Setiap bulan dihasilkan dengan warna dan corak yang berbeda. Bermula dari bulan Januari sehingga Disember kesemuanya mempunyai daya tarikan yang berbeza. “Font” yang digunakan untuk nombor dan bulan juga berbeza-beza. Memang cantik dan kemas menggunakan “font” yang sama dan sekata, tapi pilihan ini berdasarkan kekreativitian pelajar disamping pengawasan tutor.
Selain itu, dalam menghasilkan kalendar ini juga, pelajar perlu bijak meletakkan sedikit teks ataupun apa sahaja termasuklah karya masing-masing. Terdapat juga pelajar yang memasukkan unsur-unsur nasihat sebagai penarik dalam kalendar yang dibuat oleh mereka. Setelah selesai membuat kalendar, pelajar perlu menerima kata putus daripada tutor sama ada calendar yang dibuat memuaskan hati ataupun terlalu biasa. kalendar yang sudah siap dan dipersetujui oleh tutor akan diubah kepada format JPEG sebelum menjalani proses terahkhir iaitu “printing”.
Namun, terdapat pengalaman buruk apabila proses “printing” terpaksa dilakukan semula kerana terdapat beberapa helaian kalendar yang imejnya pecah dan tidak menarik. Ada juga sedikit kesan lipatan pada permukaan kalendar menunjukkan kerja yang kurang baik. Kelendar yang sudah siap akan dihantar untuk pemberian markah. Sepanjang menyiapkan kalendar ini, terdapat beberapa masalah seperti warna “font” yang menjadi kelam setelam gambar diedit dan sebgainya. Hal inilah yang mencabar kesabaran. Di sebalik semua halangan tersebut,terdapat kepuasan yang menyelaputi diri setelah kalendar itu berjaya dihasilkan dan dihantar kepada pensyarah.
Pengajaran yang menarik bukan sahaja terhenti di situ. Pelajar turut didedahkan dengan pengalaman baru iaitu membuat laman web sendiri. Proses membuat laman web ini mengambil masa selama dua minggu. Pelajar diajar langkah asas dalam membuat laman web dan menjalinkan setiap laman. Setiap pelajar disuruh menghasilkan laman web tentang diri sendiri, keluarga dan karya yang mahu dipaparkan.
Laman utama dibuat untuk menyenaraikan jalinan tentang isi kandungan yang ada dalam web tersebut. terdapat lebih kurang lapan halaman berbeza dengan isu berbeza. Contohnya seperti biodata diri atau pemilik laman web, latar belakang, keluarga, sahabat, gambar, dan juga karya yang diselitkan untuk melengkapkan laman web. Biarpun laman web ini hanya tidak diaktifkan di internet iaitu bersifat “offline” namun jalinan (hyperlink) setiap halaman dititikberatkan. Bermula dengan bahagian utama (front page) akan dihubungkan dengan halaman yang lain menggunakan “hyperlink”. Proses ini tidak terlalu sukar kerana asasnya adalah seperti biasa iaitu memasukkan “background”, teks, dan gambar yang sering dilakukan dalam tugasan yang lain.
Setelah menyiapkan laman web, pelajar mula didedahkan dengan penghasilan blog sendiri. Blog ini hanya perlu didaftarkan di “bloggerspot” terlebih dahulu sebelum dapat dipaparkan di internet. Terdapat lebih sembilan post yang ada di dalam blog ini untuk bacaan umum. Blog secara asasnya juga memerlukan “background” seperti web supaya kelihatan cantik. Di dalam blog inilah semua “server” boleh berkomunikasi dengan membaca dan memberi komen terhadap post yang ada.
Blog yang dihasilkan adalah berkaitan dengan tokoh yang dikagumi. Misalnya, blog yang dihasilkan secara individu ini, menceritakan mengenai Profesor Madya Dr. Lim Swee Tin yang amat berjaya di dalam kerjayanya sebagai pensyarah dan penghasil karya seni seperti sajak, novel, dan cerpen. Jadi, untuk mendapat maklumat tentang beliau, pelajar hendaklah menemuramah beliau terlebih dahulu. In memberikan pengalaman baru dalam menemubual seorang tokoh yang berjaya dalam kehidupannya.
Kesimpulannya, kelas ini banyak mengajar bukan sahaja ilmu tentang multimedia, tetapi menyuburkan perasaan tentang kesedaran hidup. Membuahkan perasaan kasihan kepada orang lain. Menimbulkan sikap bertolak ansur sesama manusia demi kebaikan. Malah menyuburkan sikap tanggungjawab dan disiplin diri dalam menguruskan masa serta kerja yang diberi sebagai amanah. Dalam pada itu, kelas ini turut menyiapkan diri pelajar tentang cara bekerja walaupun dalam tekanan.

No comments:
Post a Comment